mutakhir

Saya tak terkejut

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“MUNGKIN kerajaan atau pihak pendakwaan mempunyai pertimbangan sewajarnya berhubung isu keselamatan,” kata Siti Noor Aishah Atam, 32.

Siti Noor Aishah berkata, dia tidak terkejut dengan keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Saya tidak terkejut, saya pun sudah reda dengan apa yang berlaku dan sudah menjalani hukuman.

“Berhubung pembebasan mereka, saya tidak ada ulasan lanjut dan kini fokus untuk mencari kerja tetap,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Kisah Siti Noor Aishah yang juga anak sulung daripada lima beradik pernah mendapat liputan meluas selepas ditahan Bahagian Counter-Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman di rumahnya di Dungun, Terengganu pada 22 Mac 2016.

Bekas penuntut peringkat sarjana kursus Usuluddin itu ditahan kerana memiliki 12 buku-buku berunsur keganasan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara lima tahun pada 26 April 2017 selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Namun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Disember 2017 mengurangkan hukuman penjara terhadap Siti Noor Aishah atau mesra dipanggil Aishah dikurangkan daripada lima tahun kepada tiga tahun.

Selain itu, Siti Noor Aishah turut dikenakan tahanan rumah selama dua tahun dan dipakaikan alat peranti pemantauan elektrik (EMD).

Menurut Siti Noor Aishah, dia diberitahu berhubung keputusan pihak pendakwaan itu oleh seorang pensyarah.

“Saya tidak ambil tahu dan cakna berhubung perkara itu, saya pun tidak mahu memanjangkan isu saya.

“Saya harap saya akan mendapat kerja tetap walaupun tiada maklum balas hingga kini. Insya Allah ada rezeki saya dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 3:36pm
d