mutakhir

Sembunyi dalam kotak sayur

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

CUBAAN 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di bawah lori dan dalam kotak sayur gagal apabila semuanya ditahan Jabatan Imigresen Negeri Selangor, awal pagi, hari ini.

Operasi bermula 11.30 malam dan berakhir jam 5 pagi. Ia disertai 83 anggota dan pegawai serta dibantu lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi ditumpukan di Pasar Borong Selangor, Pusat Bandar Putra Permai dan Seri Kembangan.

“Kami memeriksa 70 individu dan menahan 45 daripadanya kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Ketika serbuan, ada dalam kalangan warga asing ini cuba melepaskan diri dengan melakukan pelbagai taktik namun gagal.

“Mereka dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, individu ditahan membabitkan 38 warga Myanmar, empat Indonesia dan tiga Bangladesh.

“Kami sedang mengesan majikan atau pelindung kepada warga asing ini untuk tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 3:42pm
d