mutakhir

Terkejut video tidur pun boleh tular

Oleh Omar Ahmad

JIKA video berkahwin, bergaduh, membuat tutorial atau menjual barangan yang ‘live’ di Facebook, biasa dilihat menjadi tular.

Namun, siapa sangka video tidur yang dibuat lelaki dari Kluang boleh mencecah sehingga 60,000 tontonan.

Baru-baru ini, lebih 500 pengguna Facebook melihat aksi tidur lelaki yang nama sebenarnya adalah Kok Yew Wei atau lebih mesra disapa Ah Wei, 20.

Ah Wei ketika dihubungi tidak menyangka video ‘live’ itu menjadi tular sehingga mendapat perhatian di Indonesia.

Mengakui seronok berbuat demikian, Ah Wei yang bekerja sebagai Pengurus Kafe Internet di sini berkata, video itu dibuat bagi merehatkan diri sendiri.

“Saya buat video live di FB semasa saya mahu tidur pada 16 Februari lalu, 9.45 pagi di rumah di Kluang.

“Saya sangat seronok sebab video ini tular, memang tidak sangka. Ramai juga yang hantar pesanan di FB mengenai video tular ini dan mereka ketawakan saya. Saya tidak kisah,” katanya.

Video berdurasi satu jam 45 minit itu memaparkan Ah Wei menggunakan selimut bercorak kotak berwarna putih dan biru cair.

Dalam rakaman itu, Ah Wei turut berkongsi langkah-langkah untuk tidur dengan cara mengambil nafas dan menghembuskan nafas secara perlahan-lahan.

Seterusnya Ah Wei meminta pengguna Facebook supaya mengosongkan fikiran dan membayangkan corak petak sehingga dia tertidur.

Walaupun ditulis dalam Bahasa Mandrin, video Ah Wei ini mendapat 475 perkongsian dan lebih 2,200 komen yang menyatakan lelaki itu lucu kerana membuat video untuk tidur.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 3:42pm
d