mutakhir

Samun guna kereta ibu

Oleh Erika George

POLIS yakin menyelesaikan 10 kes pecah masuk pejabat dan kedai di sekitar Bintulu sejak tahun lalu dengan penangkapan empat suspek Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, semua lelaki berusia 22 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah tumpangan di kawasan pekan lama Bintulu sekitar jam 1.40 petang.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah tumpangan terbabit menemui lima telefon bimbit, pelbagai jenis kunci, duit syiling, kad bank, resit dan kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai barangan curi.

“Turut ditemukan pemotong besi dan playar dipercayai digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan jenayah pecah masuk pejabat dan premis niaga sekitar Bintulu.

“Sebuah kereta Perodua Kancil yang berdaftar atas nama ibu salah seorang suspek yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkipli, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif mengambil dadah methamphetamine.

Hasil semakan katanya, mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah, khianat, pemilikan senjata api tanpa lesen, curi dan juga rompak.

“Semua suspek turut mengaku bahawa mereka akan berkumpul di hotel bajet sekitar Bintulu bagi berbincang sasaran serta pembahagian tugas,” katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah masuk pejabat yang mana jika disabit salah, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara hingga 14 tahun.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 4:03pm
d