mutakhir

PPMM persoal henti prosiding LTTE

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERSATUAN Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding undang-undang membabitkan 12 lelaki warga tempatan yang dituduh menjadi penyokong organisasi keganasan iaitu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya juga melihat bahawa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan beberapa siri tindakan beliau sebelum ini menzahirkan ketidakmampuannya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan serta berperanan sebagai Pendakwa Raya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa adalah lebih baik Tommy mengundur diri daripada jawatan berkenaan secara terhormat dan jika enggan, PPMM merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri supaya menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan.

“Sehingga kini, tiada langsung kenyataan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyatakan bahawa LTTE bukan lagi isu keselamatan negara, malah kumpulan itu masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di negara ini.

“Tindakan Peguam Negara (Tommy) juga sudah melangkaui kuasa eksekutif iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyatakan LTTE adalah pertubuhan pengganas.

“Tommy tidak diketahui pernah memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengeluarkan LTTE daripada senarai ini (pertubuhan pengganas) sebelum daripada ini tetapi terus secara unilateral (sebelah pihak) membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Zainul Rijal berkata, PPMM turut menimbulkan persoalan susulan tindakan Peguam Negara berkenaan akan membawa kesan kepada semua tahanan keganasan kumpulan Daesh juga perlu dilepaskan.

Beliau berkata, PPMM berpandangan tindakan mahkamah perlu dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan bagi mencabar keputusan Peguam Negara ini dan sebagai isyarat kepada Peguam Negara tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada tanpa pertimbangan undang-undang yang betul.

Semalam, Peguam Negara menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan mana-mana daripada 34 pertuduhan dihadapi mereka.

Tommy berkata, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 5:31pm
d