mutakhir

Dua remaja maut lari daripada polis

Oleh Juwan Riduan

DUA remaja lelaki maut apabila motosikal dinaiki merempuh kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, remaja berusia 14 dan 18 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terserempak sebuah motosikal Yamaha LC dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika keluar simpang Kampung Gudon.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota URB itu, penunggang motosikal memecut untuk melarikan diri menyebabkan anggota berkenaan mengejar mereka.

“Sebaik tiba di lampu isyarat Rampayan, motosikal dinaiki dua remaja lelaki itu melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu DMax yang dalam perjalanan dari One Borneo menuju ke Kampung Dambai, Rampayan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua remaja terbabit terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemeriksaan mendapati motosikal yang digunakan oleh remaja itu adalah motosikal curi di Manggatal pada 26 Januari lalu.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal kerana menunggang secara melulu dan bahaya hingga menyebabkan kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 7:38pm
d