mutakhir

Tragedi balik kampung

Oleh Siti Rohana

PERJALANAN pulang ke kampung halaman berakhir tragedi apabila seorang anggota polis maut dalam nahas jalan raya, hari ini.

Kejadian berlaku di Kilometer 131.2, Jalan Raya Timur Barat di Jeli, 1.30 petang hari ini, apabila kenderaan yang dinaiki mangsa, Mohd Zulfahmie Fitri Zulkefli, 24, bersama adik perempuannya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, mangsa bersama adiknya yang berusia 20-an dalam perjalanan pulang ke kampung di Kuala Besut, Terengganu sebelum terbabit dalam nahas berkenaan.

“Mangsa yang bertugas di Balai Polis Mahang, Kulim, Kedah dipercayai dari negeri itu untuk pulang ke kampung halamannya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa hilang kawalan di kawasan selekoh dan terus merempuh sebuah bas dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disebabkan parah pada kepala dan dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, keadaan adik perempuan mangsa pula agak kritikal dan juga mengalami parah pada kepala.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk rawatan lanjut.

“Pemandu dan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 11:44pm
d