mutakhir

Remaja maut dipukul abang angkat

Oleh Balqis Jazimah Zahari

REMAJA perempuan maut dipukul abang angkatnya dipercayai dengan sebatang penukul di rumah mangsa di Taman Desa Pakatan, di Ipoh, semalam.

Mangsa, Siti Sufiah Halim Ong, 18, ditemui ibunya ketika mahu mengejutkan anaknya itu, kira-kira 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima panggilan pada 8.20 pagi berhubung kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman percakapan ibu mangsa, suspek datang ke tempat kerja mangsa pada 4.30 petang sebelum menghantar remaja itu ke rumah pada malam.

“Lelaki itu ada berbual dengan mangsa hampir satu jam,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis menahan suspek berusia 24 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) bermasalah pembelajaran.

Semasa hasil soal siasat, katanya, suspek mengaku memukul mangsa dengan penukul akibat cemburu kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan lain.

Katanya, polis merampas sebatang penukul, sebatang kayu dan pakaian suspek.

“Hasil soal siasat mendapati mangsa mengenali suspek sejak empat tahun lalu dan mereka tidak pernah bergaduh sebelum ini.

“Suspek sering datang ke rumah untuk membantu keluarga mangsa sejak kematian bapa mangsa pada 2012,” katanya.

A Asmadi berkata, bedah siasat mendapati mangsa mengalami hentakan keras di bahagian kepala.

“Terdapat dua kesan luka dan lebam di kedua-dua belah kepala serta di sekeliling mata sebelah kiri, patah tulang tengorak di bahagian kiri dan kanan serta terdapat kesan pendarahan di bahagian otak,” katanya.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 9:02am
d