mutakhir

Patah tulang pipi didera ibu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun patah tulang pipi dipercayai didera ibu kandungnya dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Selain itu, mangsa turut mengalami lebam di muka dan beberapa bahagian badan dipercayai akibat perbuatan suspek berusia 29 tahun.

Menurut sumber, kejadian menimpa mangsa terbongkar selepas salah seorang ahli keluarga suspek membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) melalui Aduan Talian Kasih, pada jam 10 pagi, Khamis lalu.

Katanya, wanita terbabit memaklumkan suspek menghantar mangsa ke sebuah tadika di bandar raya ini sebelum kakitangan JKM bergegas ke tadika mangsa.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di pipi kiri dan di belakang telinganya sebelum dia dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan patah pada tulang pipi, lebam di muka dan luka lama di lutut selain lebam di belakang telinga dan kelopak matanya disyaki didera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, suspek yang juga ibu tunggal ditahan di hadapan pondok polis HSNZ, di sini, pada jam 7 malam pada hari sama laporan diterima.

“Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 3:27pm
d