mutakhir

Ajal pulang main bola

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BUDAK lelaki berusia 11 tahun maut selepas basikal ditunggang dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 27 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, Kampung Pulau Juar di Kampung Gajah dekat Bota, hari ini.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, mangsa Megat Iskandar Syah Putra Abdullah yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Juar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola sepak bersama beberapa rakannya di sekolah mereka.

Ketika itu, mangsa menunggang basikal bersama tiga rakannya yang menunggang basikal berasingan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kemalangan membabitkan penunggang basikal dengan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 40 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dipandu dari arah Ipoh menghala Teluk Intan, manakala basikal dari simpang SK Pulau Juar.

“Apabila tiba di tempat kejadian pacuan empat roda berkenaan melanggar basikal ditunggang mangsa yang melintas dari kanan ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang basikal maut di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu kenderaan berkenaan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 6:40pm
d