mutakhir

Bilal akan jalani pembedahan

Oleh Zuliaty Zulkiffl

BILAL Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat Mergong, Alor Setar yang melecur akibat dibakar selepas disimbah minyak tanah pada Rabu lalu akan menjalani pembedahan, esok.

Anak sulungnya, Shahrizal Amri, 40, berkata, bapanya Amri Budin, 67, dijangka menjalani pembedahan bagi menampal bahagian melecur di lengan dan badan.

Katanya, setakat ini bapanya berada dalam keadaan lemah, namun stabil.

“Doktor tak benarkan sesiapa banyak bercakap dengan ayah untuk mengelakkan dia bertambah lemah sebelum pembedahan dilakukan.

“Kami sekeluarga berharap pembedahan yang akan dilakukan berjaya, esok,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Katanya, kejadian yang menimpa bapanya dianggap sebagai takdir, dan keluarganya amat bersyukur kerana dia terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menyarankan semua masjid dan premis perniagaan di daerah ini supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata, siasatan kes bilal dibakar banyak dibantu rakaman CCTV masjid berkenaan sehingga individu terbabit berjaya ditahan dalam tempoh enam jam selepas kejadian berlaku.

“Saya juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai keluarga kalangan penagih dadah atau masalah mental supaya dapat mengawal mereka dengan baik,” katanya.

Dalam kejadian 6 pagi Rabu lalu, seorang bilal melecur 25 peratus selepas disimbah minyak dan dibakar individu tidak dikenali ketika hendak menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek sekitar kawasan masjid terbabit pada 1.30 tengah hari pada hari kejadian.

Berita berkaitan

Suspek bakar bilal diarah periksa mental [METROTV]

Bilal stabil, suspek direman tujuh hari

Bilal jadi mangsa keadaan

Buru dua suspek bakar bilal [METROTV]

'Apa motif bakar bilal'

Simbah minyak, bakar bilal

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 7:16pm
d