mutakhir

Daftar Orang Miskin bakal dilaksanakan

Oleh Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memuktamadkan blueprint bagi mewujudkan Daftar Orang Miskin sebagai inisiatif Memperkasa Miskin Bandar selewat-lewatnya Ogos ini sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pelan induk bagi menangani isu miskin bandar itu bakal dikeluarkan bagi membela nasib orang miskin di Wilayah Persekutuan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, masalah miskin bandar adalah sesuatu yang sangat unik kerana terdapat sekelompok hidup dalam kemiskinan di tengah bandar serba maju dan mewah.

“Kami akan adakan kajian dan mencari punca bagaimana masalah ini boleh berlaku di samping membantu golongan terbabit selaras dengan misi Membina Wilayah Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Sukan Wilayahku di Presint 18, Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hasim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Wan Ahmad Uzair Wan Sulaiman.

Seramai 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 bertujuan mewujudkan semangat kebersamaan dan harmoni dalam kalangan warga Putrajaya.

Program itu diadakan serentak dengan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya anjuran PPj, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya.

Pada majlis itu, Khalid turut menyerahkan sumbangan kepada 71 persatuan sukan berjumlah RM299,000 dan sebuah Van Wilayah kepada Pengerusi Zon MPPWP Putrajaya bagi membantu masyarakat setempat dalam urusan ke hospital, kematian, aktiviti amal, program lawatan dan keperluan lain di bawah Program Inisiatif Wilayah Peduli.

Khalid berkata, kajian dan pelaksanaan Daftar Orang Miskin untuk Wilayah Persekutuan adalah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan melalui satu seminar pada tahun lalu.

“Sudah tiba masanya satu bancian diadakan bagi mendaftar orang miskin agar mereka tidak dipinggirkan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terus membangun secara mampan.

“Apabila sudah ada perangkaan tepat, sebarang usaha untuk membasmi kemiskinan bandar boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 7:22pm
d