mutakhir

Penduduk risau pampasan tak setimpal

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“TIDAK sampai setahun rumah peninggalan arwah ayah dibina semula dengan kos RM150,000, saya bimbang sekiranya rumah kami terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jalan,” luah penduduk Batu 10, Kampung Melaka, Tanjong Karang, Rosniza Musa.

Rosniza, 35, yang juga kerani syarikat swasta antara 20 penduduk sekitar Parlimen Tanjong Karang yang membantah pengambilan tanah oleh sebuah syarikat bagi pembinaan projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan laluan dari Assam Jawa ke Tanjong Karang.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, keluarganya adalah penduduk asal yang menetap di Batu 10, Kampung Melaka sejak 35 tahun lalu.

“Saya dimaklumkan bahagian hadapan rumah ini akan dijadikan lebuh raya dan apabila pembinaan berjalan, kami tiada jalan keluar (untuk ke kawasan sekitar).

“Malah, kami kena buat laluan masuk dan keluar baru yang menelan kos tinggi selain jarak perjalanan jauh dan menyukarkan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Rosniza berkata, keluarganya bimbang akan terkesan dengan pembinaan itu seperti gegaran dan keretakan pada dinding serta an lantai rumah apabila lebuh raya itu siap sepenuhnya.

“Kalau dapat pampasan setimpal, saya mungkin lakukan sesuatu terhadap rumah ini. Contohnya, menambah baik tahap keselamatan seperti mengelak kemalangan.

“Tambahan pula, pampasan itu akan digunakan untuk menambah baik laluan keluar masuk yang dibina tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pengambilan Tanah Penduduk, Aminudin Mokmin berkata, penduduk tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan pihak berkenaan dan perunding swasta yang menawarkan harga pemilikan tanah sangat rendah.

“Syarikat penilai dilantik syarikat itu hanya menawarkan RM30 setiap satu kaki persegi kepada pemilik tanah berbanding harga dituntut kami iaitu RM150 setiap satu kaki persegi.

“Kami menuntut jumlah itu memandangkan geran tanah kami berstatus ‘freehold’ (pegangan bebas) Bumiputera,” katanya.

Aminudin mendakwa, seramai 178 pemilik tanah di laluan sepanjang kira-kira 30 kilometer itu dijangka terjejas dengan pengambilan tanah bagi projek pembangunan lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, pengambilan tanah menyebabkan pemilik menanggung kos kerugian tinggi berikutan terpaksa membuat permohonan geran dan ukur tanah baharu yang tidak akan diuruskan pihak terbabit.

“Malah, kami bimbang sekiranya pampasan diterima akibat pengambilan tanah tepi jalan besar, pemilik tanah tidak menerima bayaran sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 7:36pm
d