mutakhir

Pegawai dan enam anggota polis didakwa esok

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG pegawai dan enam anggota polis akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, esok atas pertuduhan rasuah membabitkan penyeludupan rokok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendapat izin mendakwa Asisten Superintendan Mohd Haniff Omar, Sarjan Helmie Yazir Ahmad, Koperal Eddy Nurazman Mohd Nozeri, Koperal Mohd Fairul Ishak, Koperal Saharuddin Abdul Hamid, Koperal Irdysham Mat Hussain dan Lans Koperal Mohd Fazli Mohd Radzi.

Menurutnya, mereka bakal menghadapi beberapa pertuduhan berkaitan rasuah mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

“Kesemua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” katanya.

Harian Metro pada 1 Februari lalu melaporkan kejayaan terbesar diperoleh Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman pada Jun tahun lalu selepas menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar bernilai RM4.868 juta tercemar dengan penahanan sembilan anggota Unit Gempur Marin oleh SPRM Pahang.

Anggota pasukan khas yang dipertanggungjawab memburu dan menahan sindiket penyeludupan sebaliknya dilapor ‘mencuri’ sebahagian barangan rampasan itu iaitu 35,000 kartun rokok dan 720 arak dianggarkan bernilai RM500,000 sebelum menjualnya semula kepada sindiket untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Sumber memberitahu Harian Metro, SPRM Pahang menahan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan lapan anggota berpangkat Sarjan serta Koperal, 29 Januari lalu.

Berita berkaitan:

  • Memalukan!
  • Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 8:14pm
    d