mutakhir

Hormati mandat rakyat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENGKHIANATAN beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah dapat dihidu apabila mahu mandat terus diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail berkata, jika hasrat mewujudkan pakatan baru itu berlaku, maka terbukti pengkhianatan pemimpin itu sudah menjadi kenyataan.

Menurutnya, tindakan kem yang diketuai Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pengkhianatan terbesar kepada parti dan mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Mohamed Azmin dan ‘pasukannya’ perlu dipecat lebih awal dari PKR kerana mereka adalah duri dalam daging kepada parti.

“Harus diingatkan juga jawatan menteri yang disandang kini adalah tiket daripada PKR dan itu perlu dihormati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Razak berkata, tindakan dilakukan Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga adalah tindakan yang tidak wajar kerana tidak menghormati keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, Jumaat lalu.

Katanya, gerakan mewujudkan kerjasama lain dengan UMNO, PAS dan beberapa parti lain juga dilihat tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada PH dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Apa guna wujudkan kerjasama jika janji yang dimeterai sebelum ini dikhianati sewenang-wenangnya?,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 1:39pm
    d