mutakhir

Kronologi hubungan Mahathir - Anwar

Oleh Reuters

Anwar Ibrahim menuduh parti politik pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ‘pengkhianat’ dalam kemnya merancang menjatuhkan gabungan pemerintah semasa dan membentuk pakatan baharu untuk menafikan peluang beliau sebagai Perdana Menteri .

Krisis terbaharu ini menjadi kemuncak hubungan dingin antara Mahathir, 94, dan Anwar, 72, yang menguasai politik Malaysia selama beberapa dekad.

Anwar mula menyertai parti pimpinan Mahathir, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 1982, sejurus selepas Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri buat pertama kalinya.

Pada 1993, ia menyaksikan Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam perancangan untuk menggantikan Mahathir.

Namun, pada 1998, keadaan sedikit berubah di mana berlaku perselisihan antara kedua-dua tokoh itu dalam krisis kewangan Asia yang menyebabkan Anwar dipecat.

Bagaimanapun, Anwar mendapat sokongan sebahagian besar masyarakat Melayu beragama Islam yang menyebabkan tertubuhnya gerakan Reformasi dan Parti Keadlian Rakyat (PKR).

Pada 1999, Anwar dipenjarakan selepas disabit atas kesalahan rasuah dan liwat, tuduhan yang dipercayai bermotifkan politik.

Pada 2003, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Empat tahun selepas pembebasannya pada 2004, Anwar sekali lagi menghadapi tuduhan liwat yang didakwa sebagai helah untuk menyingkirkannya daripada kedudukannya sebagai ketua pembangkang ketika itu.

Ini kerana pada waktu itu, dia bersaing rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, seorang lagi anak didik Mahathir.

Pada 2015, di bawah pemerintahan Najib, Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat untuk kali kedua.

Antara 2016 dan 2017, Mahathir mengumumkan keluar dari UMNO selepas mendesak Najib meletakkan jawatan berikutan skandal rasuah.

Mahathir kemudiannya membentuk parti baharu, Bersatu, sebelum menyertai Pakatan Harapan, bersama-sama Anwar.

Mahathir juga berjanji untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar dan menyerahkan tampuk pimpinan kepadanya sekiranya pakatan berkenaan berjaya menyingkirkan Najib dan menjatuhkan UMNO.

Pada 2018, Mahathir mengetuai pakatan pembangkang dan berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), mengakhiri rejim UMNO selama 60 tahun.

Dalam tempoh seminggu, Anwar berjaya mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan.

Pada 2019, Anwar sekali lagi menghadapi tuduhan berunsur seksual, namun menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘politik paling teruk’. Kes berkenaan digugurkan kerana kekurangan bukti.

Tahun ini menyaksikan senario berbeza di mana Mahathir dikatakan menerima tekanan daripada penyokong Anwar dalam pakatan memintanya menentukan tarikh penyerahan kuasa, kata sumber.

Mesyuarat berasingan yang diadakan antara ahli politik dari Pakatan Harapan dan UMNO menimbulkan desas-desus terbentuknya kerajaan baharu.

Anwar menyalahkan ‘rakan lama’ dalam Bersatu dan ‘sebahagian kecil pengkhianat’ dalam parti pimpinannya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 3:30pm
    d