mutakhir

Bersatu sokong sesiapa dilantik Agong

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEPIMPINAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dipilih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menerajui negara susulan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, mereka bersedia menerima sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan baharu mendapat mandat untuk membentuk kerajaan.

“Ketika ini, kuasa untuk melantik Perdana Menteri bergantung kepada Agong dan undang-undang. Apabila Presiden Bersatu mengumumkan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan umum sudah keluar daripada Pakatan Harapan (PH), mungkin akan ada satu gabungan baharu.

“Kita akan tengok siapa yang ada majoriti yang lebih sebagai ahli Parlimen, sama ada PH atau gabungan baharu. Kalau kita ikut ‘rule of law’ pihak mendapat sokongan majoriti yang akan mencadangkan siapa menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Razali lagi, proses untuk melantik Perdana Menteri mungkin akan mengambil masa yang panjang kerana tiada mana-mana parti yang mempunyai majoriti.

Justeru, berkemungkinan akan ada surat akuan berkanun (SD) atau Agong memanggil Ahli Parlimen dalam melantik Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti.

“Saya rasa perkara ini akan selesai sebelum Parlimen bersidang bulan depan dan tidak rasa akan ada pembubaran Parlimen kerana yang berhak membubarkan Parlimen adalah Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat perdana menteri.

“Bagaimanapun, sekarang Perdana Menteri sudah meletak jawatan dan sekarang ia terpulang kepada Tuanku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 5:42pm
    d