mutakhir

PAS Kedah tidak akan dahului pusat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PAS Kedah tidak akan membuat sebarang keputusan mendahului pusat terutama membabitkan isu pertukaran kerajaan negeri ini, walaupun parti itu memiliki jumlah kerusi tertinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat, berkata sehingga kini pihaknya belum mengadakan pertemuan atau mesyuarat bersama pimpinan PAS negeri bagi membincangkan mengenai sebarang perubahan membabitkan kerajaan negeri Kedah.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya tidak menjangkakan keadaan seperti ini akan berlaku.

“Kita di peringkat negeri tak mahu mendahului pusat sebab perbincangan itu dibuat di peringkat pusat, kita akan ikut perancangan PAS pusat.

“Kita tidak tahu akan jadi seperti ini dan isu yang berlaku hari ini kita bincang semula di peringkat negeri kerana kita ada jumlah kerusi tertinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan mana mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika kepentingan agama, bangsa, dan rakyat diletakkan sebagai teras utama untuk dicapai.

Katanya, ia dapat dibuktikan apabila PAS Kedah berada di belakang Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika tindakan pimpinan UMNO Kedah melucutkan beliau dari jawatannya pada 2016.

PAS Kedah kini memiliki kerusi tertinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan 15 kerusi selepas Bersatu mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH).

PKR pula mempunyai tujuh kerusi DUN, diikuti Bersatu (enam kerusi), Amanah (empat kerusi) dan DAP (dua kerusi)

Di peringkat kerusi Dewan Rakyat, PAS hanya memiliki tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu di Pendang, Jerai dan Sik.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 7:50pm
    d