mutakhir

Serbuk minuman lalok

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BENTUK pembungkusan seperti paket minuman tiga dalam satu jenama terkenal namun sebenarnya mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), itu taktik digunakan oleh sindiket dadah yang berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Kedah dan Pulang Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasegaran berkata sindiket itu tumpas selepas pihak polis berjaya menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan, Khamis lalu.

Menurutnya, hasil serbuan mereka berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM738,400.

“Lelaki pertama berusia 19 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 1 petang, sebelum menahan rakannya berusia 29 tahun di Sungai Petani, Kedah pada hari sama.

“Susulan penahanan itu, polis seterusnya menyerbu sebuah apartment di Jelutong pada 3 pagi, Jumaat lalu. Menerusi serbuan itu, polis merampas 309 paket pelbagai jenis minuman yang mengandungi dadah jenis MDMA, 1,600 biji pil eramin 5, pil ekstasi (1,010 biji), ketamin (127.4 gram(g) dan ganja sebanyak 101g yang kesemuanya bernilai RM738,400,” katanya kepada media hari ini.

Narenasegaran berkata, hasil siasatan mendapati apartment itu dijadikan tempat memproses dan membungkus semula dadah ke dalam paket minuman sebelum dijual kepada orang tengah serta diedarkan di pusat hiburan sekitar negeri ini.

Mengulas lanjut, Narenasegaran berkata, setiap bungkusan itu dijual kepada orang tengah dengan harga RM130 hingga RM150 setiap bungkus namun harga pasaran di pusat hiburan sekitar RM200 hingga RM300 malah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan ketika ini.

Katanya, siasatan juga mendapati dua lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual di sekitar negeri ini sejak tiga bulan lalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi ahli sindiket dadah itu termasuk dalang utama yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

“Jika dadah itu berjaya dijual di pasaran, ia mampu menampung bekalan bagi 4,780 penagih dadah. Dua lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 7:51pm
d