mutakhir

Warisan tetap sokong Tun M

Oleh Rafiqah Dahali

KERAJAAN negeri Sabah akan terus fokus menjaga kepentingan negara dan rakyat pada ketika pergolakan politik sedang berlaku di negara ketika ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata mereka sedar akan apa yang sedang berlaku di peringkat pusat, tetapi menyatakan ia tidak akan menjejaskan negeri itu.

“Mentadbir negeri dan menjaga kepentingan rakyat Sabah adalah keutamaan kita. Namun pada masa sama, kita harus peka terhadap isu nasional sedang berlaku sekarang.

“Kita harus menguruskan ‘rumah’ kita terlebih dahulu sebelum menguruskan ‘rumah’ orang lain,” katanya.

Beliau ditemui dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-24 di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada masa sama, Shafie berkata, pihaknya tetap menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus mentadbir Malaysia.

“Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk menyokong Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri dan mentadbir negara.

“Malah sebelum (mesyuarat majlis presiden PH), kami konsisten menyatakan sokongan terhadap beliau.

“Ia penting bagi kita untuk mempunyai hubungan yang lebih kukuh dengan kerajaan persekutuan. Memang ada dalam perkara tertentu yang kita tidak dapat bersama tetapi apa paling penting adalah rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 7:52pm
    d