mutakhir

Bersatu mahu Tun M jadi PM kelapan [METROTV]

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Luqman Arif Abdul Karim

MESYUARAT tergempar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu.

Keputusan sebulat suara yang dicapai dalam pertemuan khas selama tiga jam di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya turut mengusulkan beberapa perkara berkaitan kedudukan Dr Mahathir.

Menjelaskan inti pati mesyuarat, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pucuk kepimpinan parti akan menyampaikan rayuan kepada Dr Mahathir untuk kembali menerajui pentadbiran negara.

“Rayuan itu akan disampaikan 8 pagi esok. Kita ingin Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Kelapan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mesyuarat tergempar Bersatu di aras sembilan dekat Menara Yayasan Selangor, mulai 8.30 malam tadi diadakan tanpa kelibat Dr Mahathir.

Pertemuan khas itu sebaliknya hanya dihadiri sebahagian MPT dan ahli, selain dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya mengenai status Dr Mahathir dalam Bersatu, Mohd Rafiq berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu masih ahli sah parti, meskipun nekad meletakkan jawatan sebagai pengerusi.

“Jadi hari ini, kami sebulat suara menyokong kepemimpinan Dr Mahathir, bukan saja sebagai Perdana Menteri interim, tetapi kembali menjadi Perdana Menteri, mentadbir negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 12:06am
    d