mutakhir

Tidak ada Ahli Parlimen Bersatu keluar parti [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan Ahli Parlimennya dan pimpinan Bersatu keluar dari parti seperti digembar gemburkan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya berkata, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dan pimpinan keluar Bersatu seperti yang diwar-warkan.

Menurutnya, mereka masih berada dalam satu barisan dan akan mengharungi apa juga halangan serta rintangan.

"Kita akan menghadapi kemelut ini dengan baik.

"Malah keputusan untuk keluar Pakatan Harapan juga dibuat Presiden sendiri dan Majlis Pimpinan Tertinggi turut bersetuju serta akur dengan keputusan parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat tergempar Bersatu di pejabat parti itu malam ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan menjalinkan kerjasama gabungan UMNO dan PAS, Marzuki berkata, setakat ini Bersatu belum berbincang lagi.

"Cuma jika mereka turut menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri kita berterima kasih.

"Dalam mesyuarat tadi kita juga sebulat suara menolak surat peletakan jawatan Tun M sebagai Pengerusi Bersatu dan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu mesyuarat itu dihadiri sebahagian Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli, selain dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 12:42am
    d