mutakhir

Sarawak sokong jika tuntutan ditunaikan

Oleh Mohd Roji Kawi

PENYELESAIAN isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikatakan ‘umpan utama’ Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada pihak yang mahukan sokongan mereka bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sumber berkata, perkara itu sudah menjadi rahsia terbuka dan ia pastinya dimanfaatkan oleh pimpinan GPS ketika ada pihak merayu sokongan mereka.

Katanya, umum juga sudah mengetahui, GPS yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengambil pendirian berkecuali ketika ada pihak cuba meraih sokongan 19 Ahli Parlimen mereka untuk turut serta membentuk pakatan baharu.

“Tetapi pendirian Abang Johari itu boleh berubah jika tuntutan terhadap beberapa perkara dalam MA63 itu dipersetujui dan diberi jaminan akan ditunaikan oleh pihak yang memohon sokongan GPS.

“MA63 itu adalah isu utama yang diperjuangkan (bekas Ketua Menteri) Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan kita sedia maklum perjuangan itu diteruskan oleh Abang Johari,” katanya yang enggan identiti didedahkan.

Sumber itu berkata, Abang Johari konsisten dalam tuntutannya terhadap isu MA63 dan hasilnya tujuh perkara sudah diselesaikan sehingga hujung tahun lalu.

“Baru-baru ini, Sarawak diberi hak sepenuhnya untuk menguruskan gas dan itu antara kejayaan besar GPS yang diterajui Abang Johari.

“Kini, mana-mana pihak yang mahukan sokongan GPS bagi menyertai pakatan baharu untuk membentuk kerajaan harus memberi jaminan supaya isu tuntutan Sarawak terhadap MA63 diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, katanya, GPS juga dipercayai menetapkan syarat agar tuntutan 20 peratus royalti minyak juga diselesaikan.

“Royalti minyak itu hak Sarawak dan ia diperjuangkan kerajaan Sarawak sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi.

“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan menunaikan tuntutan itu, bukan sekadar meneliti atau mengkaji,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 12:34pm
    d