mutakhir

Kelantan 'tapau' pelajar terbaik STPM

Oleh Suraya Roslan

LIMA pelajar dari tiga sekolah berbeza di Kelantan diumumkan antara 10 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019, hari ini.

Lima pelajar dari Kelantan itu adalah Nur Izzati Mat Rodhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Bachok; Siti Aishah Mz Rozalan (SMK Ayer Panas, Jeli) dan tiga pelajar SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas iaitu Mohd Hafiza Ismail, Fatin Nur’Izzati Md Azmi dan Siti Nazira Sakiam.

Selain itu, lima pelajar lain adalah Oon Men Joo dari SMK Taman Johor Jaya (1); Tristan Ganes, Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya; Nurheizatul Azwa Ruspin@Sumail, SMK Agama Kota Kinabalu; Choo Yuan Zhang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya dan Wong E Chern dari SMK Gajah Berang, Melaka.

Semua pelajar itu memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dan 5A.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Emeritus Datuk Mohd Azraai Kassim berkata, pencapaian calon peperiksaan STPM 2019 secara keseluruhan terus meningkat dalam semua kriteria pengukuran.

“Peningkatan itu boleh dilihat menerusi PNGK, calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran serta peningkatan pada lulus penuh,” katanya.

Menurutnya, PNGK Nasional mencatatkan 2.77 dalam STPM 2019 berbanding 2.80 tahun lalu, manakala PNGK calon sekolah kerajaan juga sama dengan PNGK Nasional iaitu 2.77.

“Bilangan calon memperolehi PNGK 4.00 daripada keseluruhan calon hadir dalam peperiksaan STPM 2019 bertambah iaitu daripada 802 calon berbanding 666 calon sebelumnya.

“Selain itu, bilangan dan peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas mencatatkan penambahan iaitu kepada 17,615 calon tahun ini berbanding 17,447 calon pada 2018,” katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2019 di Majlis Peperiksaan Malaysia di Selayang, hari ini.

Menurutnya, kenaikan peratusan dan bilangan calon mendapat 5A meningkat kepada 42 calon berbanding 24 calon tahun lalu.

“Lebih menggembirakan daripada keseluruhan 802 calon mendapat PNGK 4.00, 587 daripadanya adalah daripada golongan B40,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 1:33pm
d