mutakhir

Maut digilis selepas langgar babi hutan

Oleh Nor Farhani Che Ad

LELAKI maut akibat digilis beberapa kenderaan apabila terjatuh selepas motosikal ditunggangi merempuh babi hutan di Kilometer 78.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun, semalam.

Dalam kejadian pada 10.30 malam, mangsa, Mohd Naim Abdilah Md Tajubdin, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar.

“Setibanya di tempat kejadian, seekor babi hutan dipercayai melintas dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba.

“Akibat jarak terlalu dekat, mangsa gagal mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran sehingga mangsa tercampak ke tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, mangsa kemudian digilis oleh beberapa kenderaan lain dan maut di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat bangkai seekor babi hutan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 1:34pm
d