mutakhir

Langgar perjanjian parti bayar RM10 juta

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

AHLI parlimen dan Ahli Dewan Undangan PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu terikat dengan akujanji iaitu membayar RM10 juta jika melanggar perjanjian parti.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Cabang PKR Jelebu, Yus Mazmi Ahmad Yusof berkata memang ada akujanji dibuat ketika itu bagi memastikan kesetiaan calon kepada parti.

Menurutnya, sembilan ahli parlimen yang keluar parti kecuali Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin (dipecat), yang lain perlu membayar RM10 juta berkenaan seperti akujanji yang ditandatangani.

“Jika mereka lupa, kita ingatkan semula mengenai akujanji itu dan saya percaya mungkin ada antara mereka akan kembali semula ke pangkuan PKR,” katanya ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.

Mengulas mengenai ADUN PKR di Negeri Sembilan, Yus Nazmi berkata beliau yakin, kesemua ADUN berkenaan akan kekal setia didalam Pakatan Harapan (PH).

“Pentadbiran kerajaan dibawah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini berjalan lancar dan stabil, jangan dengar khabar angin mengatakan kerajaan negeri tidak stabil, ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Sembilan ahli parlimen PKR keluar parti ialahDatuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 1:58pm
d