mutakhir

Polis melecur disimbah asid [METROTV]

Oleh Asrol Awang

ANGGOTA polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melecur di badan selepas disimbah asid di depan rumahnya di Taman Mahkota Putra, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku pada 6.10 petang semalam menyebabkan mangsa berusia 51 tahun itu melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri, pipi kanan, leher dan dahi.

Katanya, isteri mangsa berusia 50 tahun mendakwa seorang lelaki menunggang motosikal seperti ‘mat despatch’ menghampiri perkarangan rumah mereka dan memanggil mangsa keluar untuk menyerahkan hamper.

“Suspek didakwa memujuk mangsa untuk mengambil hamper itu dan mangsa mengambilnya sebelum berpaling untuk masuk ke rumah.

“Selepas itu, suspek didakwa menyimbah asid ke arahnya sebelum melarikan diri,” katanya, hari ini.

Mohamad Noor berkata, ketika kejadian, mangsa bersama keluarga baru tiba di rumah mereka dari Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek sebelum itu datang ke rumah mangsa lebih awal dan menekan loceng rumah tetapi beredar selepas mendapati rumah itu kosong.

“Dia dipercayai kembali semula ke rumah mangsa yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah sambil membawa hamper,” katanya.

Polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 3:00pm
d