mutakhir

Jangan terlalu taksub - Polis Pahang

Oleh Asrol Awang

KEADAAN di Pahang masih terkawal ketika situasi politik negara yang tidak menentu ketika ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Justeru, katanya, semua Ketua Polis Daerah sudah diarahkan untuk memantau keadaan di daerah masing-masing.

“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai untuk tidak terlalu taksub atau terus mempercayai maklumat belum sahih terutama dalam keadaan politik semasa ketika ini.

“Masyarakat juga diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih seperti ini di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Jawatan JSJN Pahang kini disandang Superintendan Mohd Azam Ab Razak apabila Asisten Komisioner Lam Thian Huat bertukar ke Bukit Aman bagi jawatan Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Undang-Undang dan Siasatan).

Mohd Azam sebelum ini ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Abdul Jalil berkata, sebaiknya masyarakat yang ingin berkongsi maklumat perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk pengesahan atau mengabaikan maklumat yang tidak sahih.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 3:17pm
d