mutakhir

Denda RM10,000 miliki balak haram

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMILIK kilang kayu dihukum denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini kerana memiliki hasil hutan secara haram.

Selain itu, tertuduh Zamri Omar, 53, turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan semua kayu yang disita, dilucut hak kepada Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 220 tual kayu balak bulat pendek spesies rengas dan merawan serta 47 tual kayu jaras pelbagai spesies di dalam kilangnya di Kampung Buluh Gading, Kuala Terengganu pada 3 petang, 8 Oktober 2019.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang warganegara Kemboja, Prom Kon, 40, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku salah memasuki Hutan Simpan Petuang, Hulu Terengganu tanpa kebenaran dan memiliki kayu gaharu secara haram pada November 2019.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 4:09pm
d