mutakhir

Kerajaan PH Melaka masih bertahan - Adly Zahari

Oleh Amir Mamat

KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari mendakwa masih mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang cukup untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka.

Beliau berkata, tiada sebab untuk PH meninggalkan pentadbiran negeri kerana sebahagian besar ADUN kerajaan termasuk ahli EXCO kekal dengan sokongan mereka seperti sebelum ini.

“Pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan esok seperti mana sebelum ini, setiap dua minggu sekali saya akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bagi menerangkan situasi semasa negeri.

“Selepss itu, kita akan mengadakan Mesyuarat Minggu EXCO. Saya yakin kerajaan PH di Melaka akan dapat dipertahankan,” katanya ketika ditemui di pejabat AMANAH negeri di Bukit Katil, di sini sebentar tadi.

Pagi ini, Adly mengadakan mesyuarat khas bersama ADUN PH di pejabatnya di Seri Negeri, di sini.

Antara yang kelihatan menghadiri mesyuarat itu termasuk EXCO Pendidikan, Modal Ihsan Sains dan Inovasi negeri yang juga ADUN Telok Mas dari BERSATU, Datuk Noor Effandi Ahmad dan EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap ADUN Machap Jaya dari PKR, Datuk Ginie Lim Swee Lin.

Bagaimanapun usaha pihak media mendapatkan ulasan kedua mereka gagal.

Adly ketika ditanya mengenai pendirian ADUN terhadap kepimpinannya termasuk daripada wakil BERSATU, beliau berkata masih belum menerima apa-apa maklumat.

“Setakat ini saya tiada apa-apa maklumat dan apabila Noor Effandi tanya saya tentang program, saya cuma nasihatkannya supaya teruskan tanggungjawab sebagai EXCO dan ADUN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua EXCO dan wakil rakyat lain, khususnya dari PH untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat seperti biasa.

“Saya ada minta wakil rakyat dan ADUN yang mempunyai program tertentu supaya diteruskan seperti biasa dan tidak dibatalkan.

“Pada saya semua jentera kerajaan harus terus melaksanakan tanggungjawab walau apa jua suasana politik berlaku di peringkat negeri dan negara,” katanya.

PH dan Barisan Nasional negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN manakala BERSATU dua kerusi.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 4:49pm
d