mutakhir

Ibu rayu kesan anak hilang

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG ibu meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak perempuannya berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah selepas habis waktu sekolah semalam hingga kini.

Yang Choy Choo, 47, dari Taman Kelisa, Seremban berkata seperti kebiasaan dia menghantar Miow Ka Yi ke Sekolah Menengan ACS Seremban pada 6.30 pagi.

Bagaimanpun, dia bimbang apabila anaknya tidak pulang ke rumah sebaik sahaja selesai sesi persekolahan pada 2.30 petang.

“Lazimnya anak saya pulang ke rumah sekitar 2.30 hingga 3 petang, tetapi semalam dia tidak pulang.

“Saya kemudian hubungi pihak sekolah dan diberitahu anak saya tidak hadir di sekolah semalam. Seorang rakan ada memberitahu bahawa seorang lelaki membawa anak saya menaiki kereta yang tidak diketahui hala tujunya,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon, di rumahnya di sini, hari ini.

Yang berkata, bimbang dengan keselamatan anaknya itu, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell di sini, pada 10.55 malam tadi.

Sementara itu, Nicole bersimpati dengan keluarga terbabit dan berharap Miow berada dalam keadaan selamat serta segera ditemui dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Beliau juga berkata pihaknya turut bersama cuba mengesan remaja itu.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 6:36pm
d