mutakhir

Jangan tertipu beli rumah 'bunian'

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PERLU waspada susulan tindakan sindiket tertentu menyebarkan iklan palsu tawaran projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Difahamkan sindiket penipuan yang menawarkan rumah mampu milik dengan harga yang rendah turut menggunakan logo kementerian dan logo RUMAWIP sehingga mengelirukan pembeli.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar berkata, sindiket mengeluarkan surat permohonan palsu dengan menggunakan kepala surat kementerian dan tandatangan pegawai yang palsu.

Dia berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai ejen untuk permohonan Residensi Wilayah sejak ia diperkenalkan pada 8 April 2013.

“Kementerian Wilayah Persekutuan tidak lagi menggunakan jenama RUMAWIP dalam segala urusan berkaitan rumah mampu milik setelah projek perumahan itu dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah,” katanya.

Beliau berkata, sebarang permohonan Residensi Wilayah hanya boleh dilakukan melalui portal rasmi https://residensiwilayah.kwp.gov.my/.

"Segala urusan permohonan, termasuk urusan surat-menyurat, adalah melalui janaan sistem dan secara dalam talian. Notifikasi tawaran juga akan dihantar melalui e-mel yang didaftarkan oleh pemohon," katanya.

Rosida berkata mengikut Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989 yang bertujuan melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118, pemaju tidak boleh melakukan sebarang bentuk kutipan wang daripada pemohon, termasuk yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

Katanya, sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran juga boleh dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di https://aduan.kpkt.gov.my/aduan-online/entry/aduanperumahan.cfm.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 6:46pm
d