mutakhir

Ya, saya dan dua timbalan kekal-Mohamad Ariff

Oleh Wartawan NSTP

PERSIDANGAN Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 9 Mac ini tertakluk kepada perkembangan politik semasa, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata, kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat masih kekal berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut Mohamad Ariff berkata, mengikut peruntukan sama, dua timbalannya iaitu Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Rashid Hasnon dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming juga kekal dalam jawatan mereka di Dewan Rakyat.

“Ya, saya dan dua timbalan kekal mengikuti peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Dewan Rakyat akan memerhati perkembangan semasa dan apa juga keputusan yang perlu dibuat dalam masa terdekat adalah berlandaskan peraturan mesyuarat.

“Saya akan maklumkan bila ada apa-apa perkembangan,” katanya.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang dijadual berlangsung bulan depan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun timbul persoalan sama ada sidang itu diteruskan susulan pergolakan politik tanah air ekoran perpecahan kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ia berlaku apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH disusuli dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, semalam sebelum dilantik semula dalam jawatan sama secara interim.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 7:58pm
    d