mutakhir

Tengkorak, tulang manusia dalam semak

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG penternak lembu terkejut selepas menemukan tengkorak dan tulang manusia berselerak di dalam semak ketika mencari rumput di Batu 11, Jalan FAC, Matang di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, rangka manusia itu ditemukan pada jam 10.30 pagi sebelum menghubungi polis.

Katanya, beberapa anggota polis termasuk Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bergegas ke lokasi.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan satu tengkorak, beberapa batang gigi dan tulang manusia.

“Turut ditemukan sehelai seluar dalam dan baju lengan pendek warna hitam tertera perkataan SIDMA Kolej Sarawak,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan itu kemudiannya turut menemukan seluar jeans biru, sepasang kasut sukan hitam.

“Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas rangka manusia itu ia milik orang dewasa berdasarkan ciri-ciri saiz tulang dan tengkorak serta dipercayai dipercayai meninggal dunia lebih sebulan lalu,” katanya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 8:55pm
d