mutakhir

Adun Gadek antara lapan dibebaskan

Oleh BERNAMA

LAPAN lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, G Saminathan dilepaskan dan dibebaskan oleh empat Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Hakim Collin Lawrence Sequerah serta Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan semua mereka dibebaskan.

Ia selepas dimaklumkan pendakwaan Peguam Negara mengeluarkan arahan tidak meneruskan prosiding terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain Saminathan, 35, tujuh yang lain ialah juruteknik S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 39; guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29, dan penghantar surat, S Teeran, 39.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, Muhammad Asyraf Minhad, Mohd Izhanudin Alias dan Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli.

Peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani mewakili Saminathan, Arivainthan dan Suresh Kumar; peguam Dr N Ahilan mewakili Pumugan dan peguam A Mathan bertindak bagi pihak Chandru, Sundram, Kalaimughilan dan Teeran memohon mahkamah melepas dan membebaskan semua anak guam mereka bukannya dilepas tanpa dibebaskan.

Muhammad Jamil berkata, memandangkan pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap kedua-dua tertuduh (Saminathan dan Arivainthan) dan tiada prospek untuk menuduh semula mereka, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan dihadapi.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:50am
d