mutakhir

2,000 sokong Adly kekal

Oleh Hassan Omar

KIRA-KIRA 2,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) berhimpun di hadapan Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Mereka melaungkan slogan ‘reformasi’ dan ‘hidup Adly’ sebagai protes terhadap kemelut politik negara sekarang, khususnya berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Seorang penyokong, Aminudin Abdul Jalilling, 40-an, yang mendakwa mewakili gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakannya sebagai Gerakan Rakyat berkata, mereka memberikan sokongan penuh kepada Adly untuk terus mengetuai kepemimpinan kerajaan negeri.

“Kami mahu Adly kekal sebagai Ketua Menteri kerana beliau mampu mentadbir dengan baik dan dihormati semua lapisan masyarakat.

” Kami mahu Adly memimpin Kabinet negeri demi kemajuan Melaka dan rakyat negeri ini keseluruhannya,” katanya sambil disambut dengan jeritan reformasi oleh hadirin.

Adly yang tiba di pintu masuk kompleks berkenaan 9.10 pagi tadi turun dari kenderaan untuk berjabat tangan dengan mereka sebelum beredar memasuki kompleks untuk menghadiri pertemuan dengan Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Adly dijadualkan menghadiri pertemuan berkenaan bagi memberi penjelasan kepada Mohd Khalil berhubung situasi politik semasa dan PH yang masih menguasai kerajaan negeri.

Adly dilaporkan berkata, beliau masih Ketua Menteri berdasarkan kedudukan kerusi 13-13 masing-masing PH dan pembangkang, khususnya UMNO.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Mohd Rafiq Naiza Mohideen ( Paya Rumput) kini bukan lagi anggota PH selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti berkenaan keluar daripada pakatan berkenaan.

Bagaimanapun, Noor Effandi dikatakan sudah menyatakan pendirian untuk akur kepada tindakan yang bakal diambil oleh Dr Mahathir yang dilihat kebanyakan pemerhati politik sebagai isyarat memberikan sokongan kepada Adly untuk menerajui kepemimpinan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 10:46am
    d