mutakhir

Dua beranak ajal bersama

Oleh Safuri Kamarudin

DUA beranak maut selepas motosikal mereka dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Kampung Telok Teduri, Pulai, Baling, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, dua beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari Kupang ke Baling sebelum dilanggar Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa Siti Aminah Daud, 50, dan anaknya NorshahirahWan Sulaiman, 18, dari Kampung Telok Teduri, Pulai dipercayai dalam perjalanan ke pekan Baling.

“Mangsa menunggang motosikal Damak Evo-z dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Alza dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Mangsa terhumban ke dalam longkang manakala anaknya terjatuh ke bahu jalan sebelum kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Syed Basri berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya sudah mengambil keterangan pemandu Perodua Alza terbabit.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 11:13am
d