mutakhir

Kerja roboh kuil selesai

Oleh Norzamira Che Noh

SELEPAS ditunda selama seminggu, kerja meroboh dua struktur binaan iaitu kuil dan dewan di Jalan Rembia 2, Bandar Botanik, Klang, selesai hari ini.

Pada 17 Februari lalu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sudah melakukan kerja meroboh struktur lain seperti kandang ternakan lembu dan kambing sebelum memberi tempoh tambahan seminggu untuk binaan kuil bagi kerja pengalihan struktur.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh berkata, tempoh lanjutan berkenaan sudah tamat pada 24 Februari lalu dan kerja meroboh diteruskan pada hari ini.

“Tempoh lanjutan tujuh hari diberikan dan hari ini tindakan penguatkuasaan diteruskan memandangkan masih terdapat struktur dan pendudukan secara tidak sah di atas tapak berkenaan.

“Kerja perobohan ini perlu dilakukan ekoran pemiliknya didapati menceroboh tanah dikategorikan sebagai tanah rizab masjid dan sungai.

“Malah, kami sudah memberikan empat notis pengosongan sebelum ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, notis pencerobohan dihantar kepada pemilik struktur pada 13 November 2006, 7 Oktober 2017, 9 Januari dan 17 Februari lalu supaya mereka mengosongkan tapak berkenaan, namun tidak diendahkan.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini pernah menawarkan dua tapak kandang baharu kepada pemilik kandang berkenaan di bawah Projek Translokasi Penternakan Lembu di Kuala Langat serta sebidang tanah di Kuala Langat sebagai lokasi baharu kuil itu.

Bagaimanapun, katanya, tawaran kerajaan negeri itu ditolak pihak kuil berkenaan.

“Selain PDT Klang, penguatkuasaan operasi berkenaan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Pengairan Dan Saliran Klang (JPS), Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor Berhad.

“Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pendudukan Tidak Sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan jika kesalahan pemalsuan kesalahan penalti tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada pelaku dan orang yang bersalah,” katanya.

Sementara, tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat dua lagi struktur binaan kuil belum dirobohkan dan kelihatan beberapa individu dipercayai pemilik kuil sedang memindahkan barang.

Kerja meroboh itu bermula pada 10 pagi dan pada awalnya mendapat sedikit tentangan, bagaimanapun keadaan berjaya dikawal dan kerja meroboh berakhir satu jam kemudian.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 12:08pm
d