mutakhir

Bersatu tegaskan sokong Tun M

Oleh Amir Abd Hamid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali lagi menegaskan menyokong penuh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Malah, parti berkenaan turut menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu Dr Radzi Jidin berkata, parti dan negara akan muncul lebih gagah dan bersatu padu di bawah kepemimpinan Dr Mahathir.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 24 Februari lalu sudah membuat ketetapan menyokong penuh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia.

“MPT turut menolak peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Bersatu,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, selepas mesyuarat itu Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Bersatu untuk menyampaikan keputusan parti supaya mereka terus memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, pagi tadi semua Ahli Parlimen Bersatu sudah mengadap Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

“Ahli Parlimen Bersatu sudah mengadap Baginda pada pagi ini untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Ahli Bersatu diseru supaya bertenang dan memberikan keyakinan penuh kepada kepemimpinan Bersatu untuk menangani situasi politik semasa.

“Kita yakin bahawa situasi politik ini akan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 12:50pm
    d