mutakhir

Lelaki larikan wang jualan diburu

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS memburu seorang lelaki selepas melarikan wang kutipan hasil jualan milik syarikatnya berjumlah RM125,520, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku 11 Februari lalu apabila pengurus syarikat berusia 46 tahun mendapati suspek tidak menyerahkan wang kutipan hasil jualan pelanggan.

“Suspek berusia 47 yang berkerja sebagai wakil jualan ditugaskan untuk membuat kutipan hasil jualan pelanggannya di Jalan Gambang, Kuantan.

“Bagaimanapun lelaki itu tidak menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM125,520.46 untuk tarikh jualan bermula 10 Januari hingga 4 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan yang sehingga kini tidak menerima wang kutipan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang boleh dihukum penjara minimum setahun atau maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun di Bentong terpaksa menanggung kerugian RM40,950 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, minggu lalu.

Mohd Wazir berkata, mangsa pada mulanya mahu membuat pinjaman wang pada Jumaat lalu sebelum berhubung dengan seorang suspek menerusi Facebook.

“Untuk mendapatkan pinjaman, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran sebelum memindahkan wang sebanyak RM40,950 melalui 15 kali transaksi ke dalam lima akaun berlainan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam kerana meragui pembayaran berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 1:06pm
d