mutakhir

Melaka masih stabil

Oleh Amir Mamat

PARTI Amanah Negara (Amanah) Melaka mendakwa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpihak kepada kerajaan di sini masih bersama Pakatan Harapan (PH).

Ini termasuk dua ADUN dari Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain ADUN PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Ginie Lim Swee Lin (Machap Jaya).

Semua ADUN berkenaan adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, keadaan politik negeri sekarang masih kekal stabil berikutan tiada wakil rakyat dari PH yang ‘melompat’ atau tidak menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari.

“Maka dengan ini, kita kekal dengan keadaan sekarang dan sebab itu, Ketua Menteri masih bekerja seperti biasa sejak beberapa hari lalu.

“Saya yakin bahawa kita masih kekal dan stabil sehingga ke saat ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Sofi yang juga ADUN Durian Tunggal berkata, PH Melaka masih kekal dengan 15 kerusi dan tiada perkhabaran daripada mana-mana pihak dalam kalangan mereka yang mahu belot.

“Kita masih lagi 15 kerusi. Kita tidak bercakap soal (wakil parti) Bersatu atau siapa, tetapi selagi semua EXCO masih memegang jawatan dan tidak menyatakan untuk tidak menyokong kepemimpinanAdly, maka kerajaan PH negeri masih lagi majoriti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 2:19pm
    d