mutakhir

Graduan UM didakwa

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

GRADUAN Universiti Malaya (UM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini berhubung protes terhadap naib canselor yang dilakukannya pada majlis konvokesyen 14 Oktober lalu.

Tertuduh, Wong Yan Ke bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi di Dewan Tunku Canselor, UM iaitu dengan sengaja mengaibkan dan dengan jalan sedemikian mendatangkan marah kepada Naib Canselor UM iaitu Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim dan tetamu dalam Istiadat Konvokesyen ke 59.

Kebangkitan marah itu akan menyebabkannya memecahkan keamanan awam dan dengan itu dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun.

Tertuduh ketika dibacakan pertuduhan jelas faham dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Mohd Sophian Zakria manakala tertuduh diwakili peguam Rajsurian Pillai.

Terdahulu, pendakwa raya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 sebagai pengajaran dan tidak mengulangi perbuatan berkenaan di majlis lain.

Peguam tertuduh bagaimanapun meminta wang ikat jamin berkenaan dikurangkan kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dalam proses siasatan.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 26 Mac ini.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 2:28pm
d