mutakhir

KSN, KSU ganti tugas menteri

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PERDANA menteri interim boleh terus mentadbir negara sepanjang tiga tahun berbaki daripada tarikh sepatutnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), tanpa pembentukan kabinet.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) Kuala Kangsar, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, perkara itu dapat dilakukan melalui urusan secara langsung bersama Ketua Setiausaha (KSU) dan ketua pengarah jabatan kerajaan.

Katanya, pentadbiran negara akan terus berjalan dengan perdana menteri sebagai ‘pemandu’ sementara KSU dan ketua pengarah bertindak selaku ‘Career Executive’ yang tidak membabitkan mana-mana ahli politik.

“Mesyuarat kabinet mingguan akan digantikan dengan Mesyuarat Eksekutif bersama KSU-KSU dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mana arahan perdana menteri dan keputusan mesyuarat berkenaan akan terus didengar oleh ahlinya serta dilaksana tanpa melalui menteri seperti kebiasaan sebelum ini.

“Kementerian-Kementerian juga, jika tidak diubah jenama boleh terus berfungsi yang mana menterinya juga adalah perdana menteri.

“Tidak mustahil ia dapat mencetuskan idea untuk Malaysia mengalami suatu sistem baharu yang tidak membabitkan ahli politik dalam pembentukan kabinet,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Nordin berkata, sekiranya hal itu berjalan baik dan berkesan dalam tempoh berkenaan, tidak mustahil rakyat menuntut supaya parlimen akan datang mempertimbangkan rombakan portfolio kabinet.

Katanya, kemungkinan boleh berlaku apabila rakyat meminta portfolio kabinet tidak lagi perlu disandang oleh ahli politik atau orang biasa yang dilantik sebagai senator.

Menurutnya, keselamatan negara juga akan kekal terjaga melalui taat setia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertahanan negara pula melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di samping hubungan luar dan diplomatik terus dipelihara oleh duta besar Malaysia di luar negara.

“Ahli kabinet yang dilantik itu pula tidak lagi perlu pulang ke kawasan masing-masing sebagaimana kebiasaan mereka menjaga pengundi, sebaliknya hanya menumpukan kepada prestasi portfolionya sahaja yang meliputi seluruh Malaysia.

“Perdana menteri bebas memilih sesiapa sahaja menjadi ahli kabinet, (khususnya) dalam kalangan yang dirasakannya sebagai anak Malaysia terbaik untuk sesuatu jawatan kabinet,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 2:55pm
    d