mutakhir

Cuepacs saran penjawat awam berkecuali

Oleh BERNAMA

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam di negara ini supaya mengekalkan pendirian ‘apolitical’ dan berkecuali susulan situasi semasa politik negara.

Presidennya Adnan Mat berkata rakyat khususnya penjawat awam mesti terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Semua penjawat awam juga perlu bertenang dan bersabar serta memberi fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas mengikut undang-undang bagi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar.

“Perkhidmatan berkualiti kepada rakyat mestilah diteruskan walaupun dalam situasi negara yang belum ada kerajaan tetapi sebenarnya penjawat awam penuh komitmen untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara bagi memastikan negara sentiasa aman dan damai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs turut mengambil pendirian berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah yang diambil Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

Katanya, Cuepacs dan penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan yang akan terbentuk untuk terus memajukan negara ke arah yang lebih cemerlang seterusnya memberi perkhidmatan berkesan dan berkualiti.

Justeru, Cuepacs menegaskan semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terbabit dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik, membuat penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau medium komunikasi lain serta melakukan perkara bertentangan dengan kehendak undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata Cuepacs memberi kepercayaan penuh kepada Dr Mahathir dan merayu semua ahli politik supaya dapat memberi kerjasama seterusnya dapat membentuk sebuah kerajaan yang adil lagi kukuh.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 3:11pm
    d