mutakhir

Hindari sogokan politik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah boleh mengambil tindakan jika parti politik di negeri ini didapati menawarkan sogokan sepanjang berlaku krisis politik negara.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan, namun keadaan itu mungkin boleh berlaku.

“Berkemungkinan besar ada (kes sogokan), tapi kita belum terima laporan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka jika keadaan seumpama itu berlaku.

“Kita bersedia 24 jam bukan saja kes membabitkan politik, malah kes lain yang berkaitan rasuah dan sogokan di negeri ini jika mempunyai maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon.

Sementara itu, Sayani berkata, budaya rasuah di kalangan anggota dan pegawai bomba di negeri berkenaan masih terkawal.

Menurutnya, pihaknya berharap mereka tidak terbabit dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan masa depan.

“Jika mereka melakukan (rasuah) juga, tindakan tegas akan diambil termasuk dibuang kerja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 3:37pm
    d