mutakhir

Lagi restoran nasi kandar kotor

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA restoran termasuk sebuah restoran nasi kandar yang popular di Pulau Pinang diarah tutup kerana terdapat kesan kehadiran makhluk perosak.

Arahan penutupan itu dikeluarkan selepas premis diperiksa penguat kuasa Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam operasi, hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M Bawani berkata, semua premis berkenaan terletak di Lebuh Bishop, Lebuh Chulia dan Jalan Penang, Georgetown.

Katanya, pemilik semua restoran turut dikompaun membabitkan kesalahan tiada suntikan antitifoid oleh pengendali makanan dan pencemaran silang makanan yang disimpan.

“Ketiga-tiga restoran diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 10 Februari untuk pembersihan.

“Operasi ini dijalankan bukan hanya untuk mendidik pemilik premis supaya menjaga kebersihan tetapi sebagai kesedaran kepada orang ramai supaya memilih kedai yang bersih untuk menjamu selera,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Selain restoran, Bawani berkata, kedai runcit menjual produk makanan di Jalan Penang turut diarah tutup kerana penemuan beberapa bangkai tikus di stor selain kehadiran makhluk perosak.

Katanya, pemeriksaan di kedai berkenaan selepas pihaknya menerima aduan awam dan kedai itu diarah tutup 14 hari bagi tempoh yang sama.

“Keseluruhannya, dalam operasi ini, tiga kompaun dikeluarkan berjumlah RM260 dan kesemua kesalahan tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991,” katanya.

Sejak awal Januari lalu, 17 premis diperiksa dan 12 daripadanya diarah tutup, manakala 19 kompaun dikeluarkan berjumlah RM1,300.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 4:32pm
d