mutakhir

Penantian 17 tahun cemerlang STPM berakhir

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KEJAYAAN dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong (SMKKT), Hulu Terengganu memperoleh 4A dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), semalam menamatkan penantian selama 17 tahun sekolah luar bandar itu.

Nor Jannah Mohd Ani, 20, dan Nur Hafizatul Najihah Abdul Hadi, 20, memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00, sekali gus menjadi pelajar pertama mencapai keputusan cemerlang di SMKKT sejak 2003.

Kejayaan anak nelayan dan penoreh getah itu secara tidak langsung membuktikan pelajar dalam kalangan keluarga miskin di kawasan luar bandar mampu mencapai keputusan cemerlang dalam STPM.

Kecemerlangan dua pelajar itu mendorong SMKKT menghadiahkan insentif kecemerlangan wang tunai RM500 setiap seorang.

Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam SMKKT, Mohamad Noor Mat berkata, sekolahnya itu tidak pernah mempunyai pelajar atau calon STPM yang berjaya mencapai 4A dengan PNGK 4.00.

“Oleh itu, kejayaan Nor Jannah dan Nur Hafizatul itu mencatat sejarah terbaru kepada SMKKT seterusnya memberi kegembiraan kepada semua warga sekolah.

“Daripada 33 calon STPM di SMKKT pada 2019 hanya mereka berjaya mencapai keputusan cemerlang dan wajar diberikan penghargaan berkenaan.

“Kejayaan dua pelajar itu secara tidak langsung memberi perangsang kepada pelajar STPM pada tahun ini untuk mencipta kejayaan sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pelajar Pertama Memperolehi 4A dengan PNGK 4.00 SMKKT di sekolah itu, hari ini.

Sementara itu, Nor Jannah berkata, dia tidak menjangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu dan bersyukur kerana impian untuk mencatat sejarah baru untuk sekolah tertunai.

“Kejayaan itu membuktikan pelajar di sekolah luar bandar mampu meraih kejayaan dalam STPM sekiranya gigih berusaha.

“Saya harap pencapaian itu menjadi motivasi kepada semua pelajar di sekolah luar bandar untuk turut cemerlang dalam apa sahaja peperiksaan diduduki,” katanya.

Nur Hafizatul pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak sekolah terutama guru tingkatan enam yang memberi motivasi dan berkorban masa menganjurkan kelas tambahan di sekolah pada waktu petang dan malam.

“Kesungguhan guru mengajar dan membimbing kami melalui kelas tambahan disediakan banyak membantu pelajar membuat persiapan sebelum menduduki peperiksaan.

“Saya berasa terharu apabila berjaya menamatkan penantian sekolah untuk memiliki calon STPM yang memperolehi 4A dengan PNGK 4.00,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 5:06pm
d