mutakhir

Perogol dua beradik dipenjara 50 tahun, 24 sebatan

Oleh Adnan Ibrahim

SEORANG lelaki berusia 40 tahun dikenakan hukuman penjara 50 tahun serta 24 sebatan selepas didapati bersalah merogol dua beradik perempuan berusia 10 dan 11 tahun.

Dalam pertuduhan yang dibacakan hari ini, Azman Zainal Abidin, 40, didakwa mengikut Seksyen 376 (2e) kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 25 hari di sebuah kebun kelapa sawit di sekitar daerah ini antara jam 3.30 hingga 5 petang pada 11 Februari lalu.

Berikutan kesalahan ini, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Azman juga didakwa mengikut Seksyen yang sama kerana merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun lima bulan di kebun kelapa sawit, juga di sekitar daerah ini antara jam 5 petang hingga 9 malam pada hari yang sama.

Selain itu, Azman juga didakwa mengikut Seksyen 377 (c) kerana melakukan seks luar tabii kepada mangsa kedua pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Berikutan kesalahan ini, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rajeswari Kannakiah menetapkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan untuk setiap kesalahan bagi Seksyen 376 (2e) manakala hukuman 10 tahun penjara dan empat sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 377(c).

Azman yang tidak diwakili peguam kemudiannya mengangguk faham serta mengaku salah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya sebelum merayu hukuman diringankan kerana mendakwa sudah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan sebelum itu memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman paling berat berikutan tertuduh dipercayai baharu sahaja dibebaskan daripada penjara kerana didakwa mengikut Seksyen 376 kerana merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 2012.

“Untuk kesalahan ini, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta 10 sebatan dan ia seolah-olah gagal memberikan pengajaran sehingga menyebabkannya melakukan kesalahan sama,” katanya.

Rajeswari kemudiannya menetapkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan antara kesalahan pertama dan kedua namun dijalankan serentak bersama kesalahan ketiga.

Berikutan itu, Azman diarahkan menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan pertama dan 20 tahun dan 14 sebatan untuk kesalahan kedua dan ketiga selepas selesai hukuman kesalahan pertama dijalankan.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:14pm
d