mutakhir

Sultan Johor minta ADUN buat pilihan

Oleh Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meminta setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya menyatakan secara bertulis dan lisan sama ada memilih antara gabungan baharu dan Pakatan Harapan (PH).

Itu dinyatakan beberapa ADUN yang ditemui selepas selesai mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Sultan Ibrahim pada 3.10 petang hari ini, iaitu selepas kira-kira 10 minit pertemuan diadakan.

Antaranya, ADUN Bekok Dr S Ramakrishnan (DAP), Mohd Said Jonit (Mahkota-AMANAH), Dr Faizul Amri Adnan (Serom-AMANAH) dan Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu-PKR).

ADUN Parit Yaani yang juga Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan berkata, proses menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi dirinya berjalan lancar dan beliau sendiri mengesahkan memilih PH untuk terus menerajui kerajaan negeri.

“Tuanku bertanya sendiri sama ada saya mahu memilih gabungan atau PH dan saya menjawab sendiri di hadapan Tuanku dan menandatangani pengakuan di hadapan Tuanku,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di Johor Bahru.

Ramakrishnan pula berkata, Sultan Ibrahim hanya bertanyakan satu soalan berkenaan sahaja kepada setiap ADUN.

“Baginda meminta semua ADUN yang hadir supaya membuat pilihan itu apabila bertemu setiap wakil rakyat secara berseorangan yang memakan masa kurang seminit setiap orang.

“Setakat ini, kebanyakannya menyokong PH, ” katanya.

Pagi tadi, media melaporkan, semua 56 ADUN di negeri ini diminta menghadap Sultan Ibrahim pada jam 2 petang.

Bagaimanapun, difahamkan hanya kira-kira 30 ADUN sempat menghadiri pertemuan berkenaan hari ini berikutan ada wakil rakyat dikatakan berada di ibu negara.

Sementara itu, ADUN Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad berkata, pertemuan dengan Sultan Ibrahim itu ringkas dan berjalan dengan lancar.

“Kita diberikan pilihan (sama ada menyokong Pakatan Harapan atau gabungan), saya tadi sudah membuat pilihan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sultan Ibrahim kerana mengambil inisiatif membantu menyelesaikan krisis politik ketika ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 7:04pm