mutakhir

Ajal selepas main badminton

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI meninggal dunia selepas bermain badminton di sebuah dewan di Pasir Panjang di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum kejadian itu, kakitangan awam berusia 43 tahun itu dikatakan mula bermain badminton pada 9 malam sebelum berehat bersama beberapa rakannya.

Bagaimanapun, tiba-tiba lelaki berkenaan rebah pada 10.30 malam.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba memberikan bantuan awal pernafasan (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSNZ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 7:37pm
d